Thursday, 20 March 2014

KEMAHIRAN ASAS BADMINTON




Berikut disenaraikan beberapa aspek emahiran-kemahiran asas yang terdapat di dalam permainan badminton termasuklah;
Pegangan raket

Teknik pegangan raket dengan cara yang betul adalah penting.  Ini adalah kerana pegangan yang mengawal kepala raket yang seterusnya mengawal pergerakan bulu tangkis yang dipukul.  Raket yang dipegang hendaklah dianggap sebagai sambungan tangan pemain.  Secara umumnya terdapat dua cara asas memegang raket;

Pegangan pepat (forehand grip)
Pegang raket dengan tangan kanan di mana ibu jari dan jari telunjuk membentuk huruf V di bahagian pemegang raket.
Jari telunjuk lebih atas dari ibu jari.  Jari-jari yang lain renggang dan tidak menggenggam pemegang raket terlalu kuat.

Pegangan kilas (backhand grip)
Pegang raket dengan cara yang biasa (pepat). Longgarkan pegangan dan jari-jari.  Putarkan raket lebih kurang 30 darjah ke kanan.
Luruskan ibu jari yang berehat di bahagian belakang raket yang leper.
Kedudukan ibu jari ini memberi daya kepada pukulan dan mengawal raket.

Lakuan Bersedia dan Gerak Kaki 

Mengikut analisa pergerakan dalam badminton yang dikaji oleh saintis sukan, seorang pemain badminton dalam perlawanan yang sederhana kerancakannya (average pace) untuk selama 40 minit akan melakukan pergerakan seperti berikut;

  • Lari langkah sisi (galop) ke depan, melompat ke atas, meregang, bergerak ke belakang, sisi, membongkok dan memukul (lebih kurang 400 kali.
  • Pergerakan ini melibatkan lebih kurang 250 arah larian yang berbeza 

Keadaan Bersedia

Pada asasnya, keadaan bersedia adalah seperti berikut:

  • Pemain berdiri di atas hujung kaki (bebola) secara seimbang
  • Lutut bengkok dan jarak kaki seluas bahu.
  • Berat badan ke depan sedikit.
  • Raket di depan badan dan kepala raket ke atas.
  • Siku tangan yang pegang raket dalam keadaan selesa dan tidak terlalu rapat dengan badan.
  • Perhatikan lawan dan bulu tangkis untuk membuat antisipasi pukulan. 


Gerak Kaki.

Gerak kaki adalah kecekapan bergerak dalam gelanggang semasa permainan.  Pergerakan dalam permainan badminton melibatkan banyak berhenti dan bermula, perubahan arah secara tiba-tiba, menjangkau ke bulu tangkis dan berbalik kepada keadaan bersedia.  Kebanyakan pergerakan adalah berarah sisi ke sisi, ke depan dan kebelakang.

Servis

Pukulan ini sangat penting dan pemain hendaklah menguasai kemahiran ini supaya selalu konsisten dan tepat servisnya.  Lagipun setiap mata yang dipungut oleh pemain bermula dari servisnya.  Secara amnya terdapat 4 jenis servis:

  • Servis tinggi
  • Servis rendah
  • Servis flik 
  • Servis kilas

Friday, 14 March 2014

KEMUDAHAN DAN ALATAN

KETINGGIAN SILING
Dewan sekolah mungkin boleh menyediakan satu atau lebih gelanggang badminton, tetapi jika silingnya adalah rendah, maka dewan itu tidak sesuai untuk bermain badminton.  Ketinggian siling yang paling sesuai adalah 12 meter dan yang biasa adalah 10 meter.  Ketinggian siling 7 meter boleh juga digunakan untuk bermain tetapi hanya sesuai untuk murid-murid sekolah atau pemain baru.

LAMPU
Lampu-lampu tidak sepatutnya mengganggu pemain apabila dia memandang ke atas untuk melihat haluan bulu tangkis.  Lampu-lampu seharunya diletakkan di luar gelanggang.  Lampu yang lebih terang juga harus digunakan kerana ia akan memberikan pemain itu imej yang jelas dan memberinya peluang untuk mengatur masa yang tepat untuk melakukan stroke.

GELANGGANG
Gelanggang badminton berbentuk empat segi bujur berukuran 13.40 meter panjang dan 6.10 meter lebar.  Permukaan kayu yang kenyal adalah paling sesuai kerana ia akan memberi permukaan yang sempurna untuk bermain.  Kini, banyak gelanggang badminton dilengkapi dengan permukaan lantai sintetik yang tidak mudah tergelincir.  Permukaan sintetik adalah popular kerana ia akan menyerap gegaran berbanding dengan lantai konkrit atau lantai parquet yang biasanya didapati di dewan dewan serbaguna.  Permukaan lantai yang keras memberi kesan yang buruk kepada sendi-sendi dan kecederaan lutut akan sering dialami.



Tinggi jaring ialah 1.524 meter dari lantai, diukur dari titik tengah gelanggang ke atas jarring.  Tiang-tiang tidak melebihi daripada 1.55 meter dan diletakkan di garisan tepi di sebelah luar seperti rajah di bawah :





Raket

Raket diperbuat dari besi, aluminium atau grafit.  Raket-raket ini adalah lebih ringan, kuat dan laju untuk digerakkan dan boleh memukul bulu tangkis dengan lebih kuat.  Raket-raket ini juga tahan lebih lama.  Terdapat banyak raket yang berkualiti di pasaran.  Raket-raket ini umumnya boleh dibahagikan kepada dua kategori;

                          Raket dua bahagian (two-piece racket)
                          Raket satu bahagian (one-piece racket)

 Bahagian-Bahagian raket


Untuk raket dua bahagian, kepalanya disambung ke shaft dengan satu aloi zink berbentuk T dan raket satu bahagian pula dibentuk di bawah suhu dan tekanan tinggi.  Untuk memiliki raket sendiri pilihlah saiz tangkai raket yang sesuai dipegang.  Saiz pegangan yang biasa ialah 9.2 cm.  Imbangan raket juga berbeza-beza. Pakar-pakar menyebut bahawa satu titik imbangan berjarak 29-30 cm daripada base raket akan menghasilkan raket yang bergerak lebih laju di udara.  Panjang raket dari kepala sehingga pangkal ialah 66.1 dan beratnya adalah antara 99.2 -141.7 gram.  Muka raket berukuran 25.4 cm dan lebanrnya 20.3 cm dan berbentuk oval.

Bulu Tangkis

Terdapat dua jenis bulu tangkis iaitu jenis bulu (feather shuttle) dan nilon plastik.  Jenis shuttle bulu mempunyai lebih ‘rasa’ berbanding dengan jenis nilon plastik yang akan menolong pemain mengembangkan sentuhan dan kawalan.  Jenis bulu lebih mahal dan tidak tahan lama dan diperbuat dari bulu angsa dan bulu itik.

Oleh kerana cuaca dan suasana yang berbeza dalam dewan.  Jenis bulu tangkis yang diperbuat dari bulu angsa atau itik dibuat untuk pelbagai keadaan yang berbeza.  Satu bulu tangkis boleh dianggap mempunyai kelajuan yang betul jika apabila dipukul sepenuhnya dengan stroke penuh bawah tangan dari belakang gelanggang, ia akan jatuh di keliling garisan servis bergu, tidak kurang daripada 530 mm dan tidak melebihi daripada 990 mm dari garisan sempadan







Kasut
           
Perhatian khas harus diberi kepada kasut kerana kasut yang kurang selesa akan mengganggu pergerakan pemain.  Terdapat beberapa faktor yang harus diberi perhatian semasa membeli kasut.  Pertama, kefleksibelan tapak kasut.  Ini penting untuk mendapatkan pergerakan kaki yang selesa.  Jika kasut terlalu ketat ia akan mengganggu pemain untuk menukar pergerakannya di gelanggang dengan cepat dan kemungkinan kakinya akan terseliuh.


Tapak kasut harus berlapik dan mempunyai daya serapan yang baik untuk mencegah kecederaan kepada sendi-sendi.  Kasut harus mempunyai bahagian atas yang membolehkan udara keluar masuk dan memberi sokongan serta kestabilan untuk kaki.  Sarung kaki kapas harus dipakai untuk mencegah bengkak berair di kaki dan juga menyerap peluh.




Pakaian

Pakaian harus selesa dan tidak menghalang pergerakan.  Baju T tidak seharusnya ketat di bawah ketiak dan menghalang pergerakan dalam posisi pukulan atas kepala.  Seluar pendek haruslah senang untuk pemain membongkok dan menapak ke hadapan dengan selesa.  Track-suit juga boleh membantu untuk memanaskan badan semasa aktiviti stretching sebelum permainan sebenar.  Gunakan tuala untuk mengeringkan peluh semasa dan selepas bermain.  Pakaian yang basah tidak boleh di simpan bersama-sama raket kerana boleh merosakkan tali raket.



 

PERKEMBANGAN BADMINTON DI MALAYSIA

Pada awal tahun1900, permainan Poona dibawa ke Pulau pinang oleh pegawai-pegawai Kompeni Hindia Timur.  Permainan Poona dimainkan di Suffolk House, rumah kediaman Kapten Francis Light di Pulau Pinang.  Pada tahun 1925 Persatuan Badminton Pulau Pinang ditubuhkan, dan tidak lama selepas itu Persatuan Badminton Perak pula ditubuhkan.  Akibat minat yang ditunjukkan oleh pemain-pemain di negeri-negeri Malaya, Persatuan Badminton Malaya ditubuhkan pada tahun 1934, dengan J.I.Woods dari Perak sebagai Presiden yang pertama.

Pada tahun 1937 Persatuan Badminton Malaya bergabung dengan Persekutuan Badminton Antarabangsa.  Sejak itu imej kita dalam permainan badminton telah dipertingkatkan dengan memenangi kejohanan berprestij seperti Piala Thomas dan Kejohanan Seluruh England.

Pada tahun1960, Persatuan Badminton Malaya (BAM) telah ditubuhkan, dengan Tan Sri Mohd.Khir Johari, seorang Menteri Kabinet sebagai presidennya yang pertama.  Di bawah pimpinannya, Malaysia pada tahun 1967 telah memenangi semula Piala Thomas.  Beliau memimpin BAM selama 25 tahun, iaitu dari tahun 1960-85.  Pada tahun 1985-93, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Elyas Omar dilantik sebagai Presiden BAM yang kedua.

Tugas utama BAM ialah memajukan permainan badminton Negara, melalui pelbagai perancangan dan aktiviti seperti menganjurkan :

*                Kejohanan Badminton Asia
*                Kejohanan Terbuka Malaysia
*                Kejohanan Peringkat Remaja
*                Sirkit Grand Prix Kebangsaan dan Dunia
*               Kejohanan Piala Thomas/Uber dan sebagainya

Sunday, 9 March 2014

SEJARAH BADMINTON


Badminton boleh dikatakan berasal daripada sejenis permainan purba yang bernama battledore dan shuttlecock yang dimainkan di Negeri Thai dan China lebih dari 2000 tahun dahulu.  Sejenis permainan yang hampir serupa dengan permainan purba tersebut yang dipanggil Poona telah dimainkan di Negeri India.  Permainan Poona telah menarik perhatian dan keghairahan pegawai-pegawai tentera British yang bertugas di India pada masa itu.

            Permainan asli India ini dimainkan dengan sebatang bet kecil dan pelantar berbulu (feathered projectile) dengan diperhatikan oleh tentera British di Poona.  Permainan ini dikenali dengan nama tersebut sehingga beberapa tahun lamanya.  Menjelang tahun 1860, pegawai-pegawai tentera British telah membawa balik permainan Poona ke tanah air mereka di England.  Permainan ini dimainkan dengan gahirahnya di estet Badminton House, di perkampungan desa badminton di Goucestershire.  Estet Badminton House ini dimiliki oleh Duke of Beaufort.  Permainan ini mendapat nama ‘Badminton” dari estet tersebut.

Negara kita Malaysia, telah menjuarai Piala Thomas ini beberapa kali. Kali pertama pasukan badminton negara memenangi Piala Thomas ialah pada 1949. Kejayaan ini kemudian disusuli dengan beberapa lagi kejayaan iaitu pada tahun 1952, 1955 dan 1967. Pada tahun 1992 pula, pasukan badminton negara yang ditunjangi oleh Keluarga Sidek, sekali lagi berjaya menjulang Piala Thomas. Antara pemain badminton negara yang terkenal suatu ketika dahulu ialah Punch Gunalan, Ng Boon Bee, Tan Aik Mong, Tan Aik Hwang, Silvia Ng, Misbun Siden, Razif Sidek, Jailani Sidek dan lain-lain. Persatuan Badminton Malaysia atau BAM telah ditubuhkan pada tahun 1912, iaitu di antara persatuan yang terawal ditubuhkan di dunia. Sekarang ini, pasukan negara masih dianggap sebagai pasukan yang disegani sebaris dengan pasukan ternama dunia iaitu Indonesia, China, Korea Selatan dan Denmark.